Sep 23, 2008

Langkah Seterusnya Untuk Membentuk Kerajaan

Semalam saya telah menemui kepimpinan Pakatan Rakyat, terdiri daripada pimpinan Pas di Kota Bharu, Kelantan dan pimpinan DAP di Kuala Lumpur. Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah menegaskan komitmen mereka mengenai semangat dan matlamat Pakatan Rakyat, manakala Setiausaha Agung DAP merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang YB Lim Guan Eng menyatakan rasa puas hati beliau di dalam setiap perkembangan untuk memperkukuh dan memperkemaskan konsensus di kalangan parti Pakatan Rakyat serta penyokong daripada Barisan Nasional.

Kami juga membincangkan langkah Pakatan Rakyat yang seterusnya untuk diambil ke arah menubuhkan kerajaan yang mengesani sokongan daripada majoriti Ahli-ahli Parlimen. Kegagalan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi untuk menghalusi permohonan kami untuk memanggil Sidang Tergempar Parlimen menggambarkan satu lagi usaha Kerajaan BN pimpinan Umno untuk melakukan sabotaj serta mencalai proses demokrasi yang sihat.

Sungguhpun begitu saya dan teamn-teman di dalam Pakatan Rakyat kekal yakin dan percaya bahawa iltizam rakyat untuk melihat perubahan akan terhasil kelak. Kami akan meneruskan usaha dengan penuh hemah dan berhati-hati demi mencapai sasaran kami dan kami mencapai kata sepakat untuk tidak melayan sebarang provokasi mahupun pendekatan yang tidak bertanggungjawab yang boleh membawa kepada ketidakstabilan dan ketidaktentuan yang lebih parah buat negara. Saya tidak maklum mengenai sebarang perundingan yang dilakukan antara Pakatan Rakyat dan Perdana Menteri - di mana kenyataan yang telah dibuat semalam yang menyarankan ada ruang komunikasi yang perlu dibuka telah disalahtafsir.

Kini wujud satu krisis keyakinan ke atas kepimpinan negara pada masa kini di saat rakyat Malaysia mengkehendaki penyelesaian kenaikan harga barangan yang tertinggi di dalam tempoh dua dekad, peningkatan pengangguran dan juga hakisan keyakinan yang dramatik di kalangan pelabur.

Tatkala Menteri Kewangan yang baru berdegar-degar menyatakan kedudukan ekonomi negara masih stabil, fakta yang ada merungkai cerita yang berbeza. Untuk tahun 2008 sahaja lebih daripada RM125 billion telah ditarik oleh para pelabur yang semakin jelak dengan sebuah kerajaan yang gagal untuk melaksanakan hatta satu perubahan demi menjamin kebebasan sistem kehakiman dan meneruskan penggunaan undang-undang drakonian seperti ISA untuk menahan rakyatnya tanpa sebarang proses perundangan.

Perubahan-perubahan ini adalah asas kepada misi Pakatan Rakyat untuk memulihkan ekonomi, untuk mengorak lebih pertumbuhan dan pekerjaan buat rakyat Malaysia, menarik pelaburan asing, dan untuk memastikan pendirian teguh kepada jaminan perlembagaan termasuklah kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan, kebebasan beragama bagi penganut agama lain, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tanpa menyekat kebebasan bahasa ibunda lainnya, dan juga status Raja-raja Melayu dan pastinya hak istimewa Melayu dan bumiputra.

ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang
Ketua Umum KeADILan

0 Comments: